Friday 22 April 2011

Bahaskan perkaitan antaara kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

PENGENALAN
Bagi setiap negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek penting yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di dalam sesebuah negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya iaitu di mana kanak – kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai – nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan para pelajar. Di Malaysia, dasar pendidikan mempunyai peranan yang amat penting dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan negara yang mana dasar ini dikenali sebagaiDasar Pendidikan Kebangsaan’

Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha berterusan ke arah memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara. Meneliti setiap kata yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) di atas, dapat perhatikan bahawa matlamat atau hasrat kerajaan dalam sektor pendidikan di negara ini adalah untuk melahirkan individu atau modal insan yang seimbang dalam semua segi sama ada intelek, rohani, emosi mahupun jasmani.( Roselan Baki, 2003). Bagi mencapai matlamat ini, sudah pastilah tanggung jawab dipikul oleh mereka yang bergelar guru dalam menerapkan segala aspek dalam kalangan pelajar bagi melahirkan modal insan yang unggul dan dalam melaksanakan tanggungjawab ini, sudah pastilah penekanan dalam aspek penyampaian ilmu melalui pengubalan kurikulum terpaksa dilakukan.

PENGENALAN KBSR DAN KBSM
Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan agar setaraf dengan negara – negara maju yang lain, tahun 1986 hingga awal tahun 1991 adalah merupakan tahap terpenting dalam sejarah pendidikan negara di mana pelbagai perubahan telah dilaksanakan dalam banyak aspek, di samping berusaha untuk menangani cabaran perkembangan semasa yang mana telah mula mengabaikan nilai kerohanian dan juga nilai murni dalam kehidupan masyarakat pada waktu tersebut. Perlaksanaan kurikulum baru KBSR dan KBSM adalah susulan daripada perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perlaksanaan Dasar Pelajaran yang dikeluarkan pada tahun 1979. Berikutan itu, Kementerian Pendidikan pada ketika itu telah mengambil langkah drastik dengan melaksanakan perakuan yang terkandung dalam laporan tersebut. Oleh yang demikian, kurikulum di peringkat rendah dan menengah telah dikaji dan digubal semula dengan tujuan untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan negara. Oleh yang demikian, segala perubahan dalam kurikulum, cita - cita FPN dan pendekatan yang menekankan kesepaduan dalam kurikulum menengah perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat agar hasrat murni yang ingin dicapai melalui pendidikan dapat dijayakan dengan berkesan dan sempurna.

PERKAITAN ANTARA KBSR DENGAN FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Penggubalan semula Falsafah Pendidikan Negara yang dahulunya hanya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan, menyebabkan berlakunya keperluan untuk mengkaji semula keseluruhan system dalam pendidikan kebangsaan. Kesinambungan daripada perubahan ini, maka terhasilnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah yang telah dilancarkan sepenuhnya pada tahun 1983. Kurikulum ini digubal bagi memastikan setiap murid diberi peluang untuk mendapatkan kemahiran, pengetahuan, nilai, sikap dan amalan kehidupan yang diperlukan.

Falsafah KBSR ialah memberi pendidikan yang bercorak pendidikan asas dengan penegasan terhadap kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. KBSR turut memberi penekanan terhadap perkembangan individu secara menyeluruh dan seimbang dari aspek JERIS serta pemupukan dan perkembangan bakat seseorang individu itu.
Antara objektif penting pembentukan KBSR yang perlu dicapai pula ialah:

I.      Murid dapat menguasai dan menghargai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai alat perpaduan dengan baik dan memuaskan.
II.      Murid dapat menguasai kemahiran asas bahasa iaitu kemahiran bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa pengantar sekolah rendah iaitu Bahasa Melayu.
III.      Melalui KBSR, pembinaan sikap dan perlakuan yang baik berpandukan nilai – nilai kemanusiaan dan kerohanian yang berlandaskan RUKUN NEGARA dapat dipupuk dikalangan murid. Yang keempat, murid dapat bergaul, menghargai hak dan kebolehan orang lain serta mempunyai semangat kerjasama dan toleransi. Dan yang kelima, murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan, kefahaman, minat serta kepekaan terhadap manusia dan alam sekitar.

KBSR dibahagikan kepada tiga bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang kemanusiaan dengan persekitaran dan bidang perkembangan diri individu. Bidang komunikasi pada asasnya terdiri daripada komponen Kemahiran Asas yang mengandungi mata pelajaran Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris serta matapelajaran Matematik. Bidang Kemanusiaan dan Alam Sekitar pula terbahagi kepada dua komponen iaitu Kerohanian, Nilai dan Sikap serta Komponen Kemanusiaan dengan Alam. Mata pelajaran yang mewakili bidang ini ialah matapelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Bidang yang ketiga pula iaitu bidang perkembangan diri individu terdiri daripada komponen Kesenian dan Reakreasi yang mengandungi matapelajaran Muzik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani. Berdasarkan perkara yang berkaitan di atas, maka Berdasarkan perkara yang berkaitan di atas, maka jelaslah bahawa matlamat pendidikan KBSR di sekolah rendah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh dari aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai – nilai estetika dan sosial selaras dengan falsafah dan dasar pendidikan negara iaitu untuk membangunkan negara dan menyemai perpaduan kaum yang kukuh serta integrasi nasional melalui sistem pendidikan yang tersusun dan bersistematik. Pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan
yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

I.      Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah memuatkan senarai kemahiran asas berbahasa dan tatabahasa yang perlu dikuasai oleh murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Kemahiran-kemahiran berbahasa ini meliputi kemahiran lisan (mendengar dan bertutur), membaca, dan menulis. Tatabahasa pula meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa Melayu. ( Abdullah Hasan,1996).

II.      Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah ini pula, mengandungi perincian, penjelasan serta huraian tentang Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu. Di dalam Huraian Sukatan Pelajaran ini, dimuatkan senarai kecekapan berbahasa dalam kemahiran mendengar dan bertutur, membaca, menulis, tatabahasa, penjodoh bilangan, peribahasa, dan perbendaharaan kata yang sesuai bagi peringkat persekolahan murid (Roselan Baki,2003).

III.      Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina (C) dan Tamil (T) disempurnakan dengan mengambil kira tahap kebolehan dan kemampuan murid di SJK(C) dan (T). Oleh itu, Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu untuk SJK(C) dan (T) agak berbeza daripada Sekolah Kebangsaan dari segi huraian, senarai kemahiran berbahasa, contoh-contoh peribahasa, tatabahasa, dan jumlah perbendaharaan kata yang dicadangkan.

IV.      Huraian Sukatan Pelajaran ini merupakan satu cadangan, dan guru-guru tidak seharusnya terikat kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan. Sekiranya didapati ada di antara cadangan-cadangan ini tidak sesuai dengan keadaan bilik darjah, guru-guru boleh mengubah dan menyesuaikannya dengan kebolehan dan kemampuan murid.

Untuk melihat sama ada objektif Sukatan Pelajaran dapat dikaitkan dengan Falsafah Pendidikan Negara, adalah terlebih elok bagi kita melihat dahulu apakah objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang digubal oleh Kementerian Pelajaran untuk rakyat Malaysia. Dengan ini barulah kita dapat melihat adakah Sukatan Pelajaran yang digubal selama ini mempunyai kaitan atau menjiwai ‘roh’ dan semangat Falsafah Pendidikan Negara. Jika ia mempunyai kaitan, kita telah pun berada di jalan yang betul dalam usaha untuk memartabatkan semangat Falsafah Pendidikan melalui Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu yang di ajar di sekolah rendah di Malaysia. Cuma beberapa pendekatan yang terbaik perlu diberi tambah nilai dari masa ke semasa untuk memantapkan pengakaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Menurut kandungan Sukatan Pelajaran, setelah mengikuti pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah, murid-murid dapat:
a.       Mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupan sehari-hari;
b.      Bertutur dengan petah dan mengeluarkan buah fikiran yangv bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila; Membaca
c.       untuk memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan;
d.      Menjadikan pembacaan sebagai satu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan pengetahuan dan hiburan
e.        Menulis pelbagai jenis karangan dan surat kiriman mengikut tajukv dan format yang betul;
Dengan merujuk kepada definisi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR ), matlamat serta ciri-ciri KBSR itu sendiri, saya dapati KBSR akan mampu mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Negara. Falsafah Pendidikan Negara menyatakan bahawa Pendidikan itu suatu proses yang berterusan. Sebagai saluran Pendidikan pada peringkat awal, KBSR sememangnya menggalas tugas yang amat berat. Ini kerana pada peringkat permulaanlah segalanya bermula. KBSR akan memastikan Pendidikan yang diberikan kepada pelajar memuaskan dan menepati ciri-ciri yang diinginkan. Pendidikan awal adalah penting kerana ia membentuk asas sahsiah yang akan terus berkembang hingga ke akhir hayat nanti. Oleh itu, KBSR menekankan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Dengan kemahiran-kemahiran asas yang teguh dan mampat, segala proses Pendidikan yang akan ditempuhi oleh pelajar menjadi mudah (Abdullah Hasan, 1996). KBSR menitikberatkan soal nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Dengan ini, Falsafah Pendidikan Negara yang menginginkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani akan tercapai. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, KBSR bukan sahaja menekankan soal penyampaian ilmu pengetahuan bahkan setiap guru dikehendaki menyelitkan penerapan nilai-nilai murni kepada pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Selain itu, dalam seminggu hari persekolahan akan terdapat 2 masa untuk matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Ini melambangkan KBSR amat menitikberatkan soal kesihatan para pelajar supaya pelajar tidak hanya memerah otak dalam sesi pembelajaran matapelajaran lain tetapi mereka juga boleh berekreasi dan menenangkan fikiran dengan bersenam dan bersukan.
 Seterusnya, unsur Falsafah Pendidikan Negara ingin melahirkan rakyat yang memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sehubungan dengan itu, KBSR menekankan kemahiran berfikir dalam sistem penddidikan pada peringkat awal. Melalui ciri ini pelajar bebas meluahkan pendapat dan mencipta sesuatu yang baru. Secara tidak langsung hasil kretiviti pelajar akan terus digilap dan dihargai. Oleh itu, maka lahirlah generasi yang mampu memberi sumbangan dalam pelbagai bidang.

KESIMPULAN
Dalam era globalisasi yang kian mencabar dan melalui arus-arus modenisasi, konsep pembangunan modal insan amat ditekankan sebagai satu usaha menjadikan negara kita, Malaysia maju, yakni setaraf dengan negara-negara luar. Ini termasuklah demi pembangunan sejagat dalam bidang sains dan teknologi berdasarkan acuan sendiri serta selari dengan hasrat Wawasan 2020 yang pernah diwar-warkan oleh mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad satu masa dahulu. Kita amat bertuah kerana tidak lama dahulu iaitu pada tahun 1988, tergubalnya sebuah garis panduan yang diberi nama Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ini kerana oleh sebab falsafah inilah yang membentuk sistem pendidikan Negara seterusnya melahirkan anak-anak Malaysia yang berjaya.

Sesebuah falsafah yang digubal dalam sistem pendidikan sesebuah negara memainkan peranan yang amat penting. Falsafah pendidikan menjadi satu pedoman, arah tuju dan pandangan terhadap perkara yang berkaitan dengan pendidikan. Di dalamnya terkandung pelbagai hasrat untuk dilaksanakan yang menjadikan sistem pendidikan sebagai modus operandinya. Maka dengan itu, sistem pendidikan adalah dibina berdasarkan falsafah pendidikan. Oleh yang demikian, dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan terkandungnya garis panduan yang menjelaskan arah tujuan sistem pendidikan negara kita. Ia menjadi panduan setiap aktiviti pendidikan. Ia tidak lepas dari menjadi cerminan pemikiran dan hasrat negara kita dalam melahirkan ciri-ciri individu yang dikehendaki oleh negara.
Sistem pendidikan negara kita mengalami anjakan paradigma dengan wujudnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perubahan demi perubahan berlaku dari tahun ke tahun sebagai tujuan untuk menghasilkan peningkatan kuantiti produk-produk generasi baru yang berkualiti. Ini juga adalah kerana kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan itu sendiri yang bersifat menyeluruh, sejagat dan bermotivasi. Pada pendapat saya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan bersifat menyeluruh kerana melibatkan keempat-empat unsur dalam kehidupan kita. Unsur-unsur tersebut ialah rohani, jasmani, intelek dan sosial. Unsur-unsur inilah yang memantapkan kehidupan harmonis, seimbang dan cemerlang. Individu yang seimbang inilah dijamin dapat memaju ke arah kemajuan negara yang tiada taranya.

Tuntasnya, sebagai guru, kita memainkan salah satu penggerak utama bagi menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai arkitek sosial, guru mempunyai tanggungjawab besar, bukan sekadar memberi pendidikan dan menyampaikan ilmu semata-mata, malah dipertanggungjawabkan untuk merealisasikan transformasi pendidikan yang dicita-citakan negara. Transformasi pendidikan ini termasuklah dalam menjana modal insan cemerlang dan memupuk minda kelas pertama.



Soalan 2
Laksanakan satu kajian untuk mengenal pasti satu masalah yang anda hadapi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan cara bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut. Sediakan satu laporan lengkap mengenai kajian yang telah dilaksanakan dan cara penyelesaian masalah.

ABSTRAK KAJIAN TINDAKAN
Kajian ini dijalankan untuk mengatasi pelajar yang menghadapi masalah penulisan terutama dalam kalangan pelajar Sekolah Rendah. Perancangan menitikberatkan cara penulisan yang betul dalam kalangan murid terutama untuk pelajar yang tergolong dalam kumpulan pemulihan . Hasil daripada tulisan terutamanya dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu, yang dilahirkan oleh seseorang murid inilah akan bakal mencerminkan kemahiran dan perkembangan mentalnya, kerana tulisan yang baik akan boleh dibaca dan difahami maksudnya.
PENGENALAN
Diapati kelemahan pelajar dalam aspek tulisan berpunca daripada ketiadaan  latihan menulis yang terancang dan pengabaian guru terhadap aspek tulisan murid-murid ini sejak awal persekolahannya  terutama semasa berada di dalam kelas pra persekolahan . Dengan pengabaian inilah yang menyebabkan keciciran murid-murid dalam teknik penulisan dan   seterusnya mengakibatkan mereka jauh ketinggalan dan gagal untuk menulis dengan betul. Oleh itu sekiranya masalah ini berpanjangan , pencapaian murid-murid ini akan terjejas dan seterusnya akan memberikan impak  yang kurang memuaskan  terhadap pencapaian keputusan peperiksaan  yang bakal dihadapi. Maka   haruslah diambil tindakan yang sewajarnya dan tindakan yang sepatutnya   dilakukan bagi memperbaiki situasi yang wujud sekarang. Oleh itu kami telah membuat kajian terhadap murid-murid yang mengalami masalah tulisan bagi mengatasi masalah ini supaya tidak berlarutan. masalah ini perlu diatasi segera untuk membolehkannya menjalani proses pembelajaran dengan lebih berkesan pada masa hadapan

Tujuan kajian
Pelaksanaan Kajian Tindakan bertujuan khusus untuk meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru dan meningkatkan pencapaian murid. Secara logik, seorang murid dianggap berjaya menguasai kemahiran-kemahiran pembelajaran yang terdapat dalam sukatan pelajaran apabila berjaya mendapat markah tinggi dalam sebarang penilaian bagi mata pelajaran tersebut. Dalam konteks pencapaian akademik, murid tersebut juga dianggap cemerlang dalam mata pelajaran.
Kajian Tindakan yang bertujuan untuk mengatasi pelbagai masalah pembelajaran atau membantu murid menguasai pelbagai kemahiran pembelajaran yang ditetapkan untuk satu-satu mata pelajaran adalah lebih menepati matlamat untuk membantu murid mencapai tahap cemerlang dalam satu-satu mata pelajaran. Perhatikan contoh berikut
         i.            Membantu murid merancang cara belajar di bilik darjah dengan berkesan
       ii.            Membantu murid merancang cara belajar di bilik darjah dengan berkesan melalui bimbingan guru yang berkesan
Objektif kajian
         i.            Membetulkan cara murid menulis supaya tulisan mereka tepat dan kemas.
       ii.            Murid dapat menulis huruf, sukukata dan perkataan dengan kemas dan betul.
      iii.            Memudahkan murid berkomunikasi atau berhubung dalam bentuk penulisan dengan menggunakan bahasa baku.
Kajian terhadap masalah ini dirasakan perlu memandangkan kegagalan yang berlaku adalah secara berterusan. Dalam masa yang sama, masalah penguasaan atau kegagalan sering dikaitkan dengan kelemahan diri individu atau pelajar semata-mata sedangkan pada realitinya, banyak faktor lain yang boleh dipertanggungjawabkan. Melalui kajian ini juga, pengkaji ingin memberikan sedikit cadangan untuk mengatasi masalah yang berlaku


Kumpulan sasar
Kumpulan sasaran terdiri daripada  pelajar yang lemah dalam kemahiran tulisan.
Tinjauan Masalah
Tidak dapat dinafikan segelintir murid masih menghadapi masalah lemah penulisan. Senario ini dapat dikenal pasti sejak awal tahun lagi melalui latihan-latihan yang diberikan kepada murid-murid kelas ini. Kebanyakan murid tidak menghantar buku latihan untuk disemak oleh guru. Ini kerana mereka gagal menyiapkan latihan yang diberikan mengikut tempoh masa yang diberikan. Berdasarkan buku latihan mereka, dapati mereka lambat menulis dan tulisan mereka tidak kemas, latihan yang diberikan juga tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang agak panjang.
Kepentingan Kajian
      i.      Mengetahui  tahap penguasaan penulisan  sebenar pelajar yang dikaji.
    ii.      Melihat keberkesanan  aktiviti yang dirancang kepada sasaran yang dikaji.
   iii.       Murid dapat menulis huruf , sukukata dan perkataaan dengan baik dan betul .
  iv.      Murid dapat menulis dalam tatabahasa yang betul .
    v.      Malahan murid juga dapat menulis dengan menggunakan tanda baca yang betul di dalam penulisannya.
Masalah kajian
         i.            Masih  keliru tidak dapat mengenal abjad secara turutan
       ii.            Tidak pasti dengan penggunaan vokal.
      iii.            Tidak mahir dalam membentuk perkataan.
     iv.            Tidak faham dan tidak boleh mengadunkan bunyi suku kata tertutup dengan betul.
       v.            Masih keliru dengan huruf konsonan n dan g.
     vi.             Lemah dalam perbendaharaan kata.
    vii.            Kelemahan dalam ejaan dan tulisan.

HASIL DAPATAN KAJIAN

Sikap Pelajar
Masalah dalam aspek penulisan bukan perkara baru dalam pendidikan Malaysia. Masalah ini tidak hanya berlaku dikalangan masyarakat bukan Melayu, tetapi masyarakat Melayu sendiri banyak melakukan kesalahan bahasa; baik dalam pertuturan mahupun penulisan. Bagi Pelajar-pelajar Melayu beranggapan bahawa mereka tidak perlu mempelajari bahasa Melayu kerana bahasa tersebut merupakan bahasa ibunda mereka, bahkan boleh dikatakan semua orang Melayu telah menggunakan bahasa Melayu sejak kecil, mengikut pertuturan masyarakat sekeliling. Pembelajaran bahasa Melayu tidak dititikberat kerana masyarakat Melayu beranggapan mereka sudah menguasai kemahiran menggunakan bahasa Malaysia memandangkan mereka boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu. Sebenarnya orang Melayu perlu sedar bahawa anggapan sedemikian adalah tidak benar. Bahasa Melayu yang digunakan oleh mereka dalam pertuturan harian bukanlah sama dengan struktur bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa ilmu. Hasil kajian, menunjukkan bahawa kebanyakkan mereka menyatakan sikap pelajar itu sendiri yang menyebabkan mereka lemah dalam bahasa Melayu. Sikap pelajar yang malas dan tidak mahu membuat latihan yang diberikan guru, tidak mengulangkaji mata pelajaran tersebut, kurang membaca bahan bacaan yang berbentuk akademik dan menganggap bahasa Melayu mudah. Apabila hal ini berlaku, mereka tidak mengambil berat terhadap mata pelajaran tersebut.

Persekitaran Rumahtangga
Persekitaran rumahtangga merupakan salah satu faktor masalah penguasaan murid-murid. Pesekitaran rumahtangga terdiri daripada tahap pendidikan keluarga, sosioekonomi, pendapatan dan sebagainya. Setiap satu berkait rapat dan mempengaruhi antara satu sama lain. Buktinya, diantara contoh yang diberikan ialah faktor ibubapa pelajar yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan atau pendidikan tidak tinggi. Pekerjaan keluarga juga mempengaruhi pencapaian akademik anak-anak mereka. Jenis perkerjaan berkait rapat dengan tahap pelajaran. Jenis perkerjaan pula akan menentukan jumlah pendapatan yang seterusnya akan menentukan tahap kelas sosial dan kemampuan mereka untuk menyediakan kemudahan-kemudahan pelajaran yang lebih baik kepada anak-anak mereka.
Peranan Guru
Selain itu, guru memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dalam pelajarannya. Guru seharusnya kreatif dalam pengajaran agar mampu menarik minat murid-murid untuk mempelajari bahasa Melayu. Guru-guru seharusnya memiliki teori, pendekatan, kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang terkini. Pada tahap umur 11-12 tahun, iaitu masih pada peringkat kanak-kanak, murid-murid ini cepat merasa bosan, terutamanya bagi murid Melayu yang kebanyakkannya mempunyai tanggapan tersendiri tentang bahasa Melayu. Rata-rata mereka menganggap bahasa Melayu mudah kerana mereka bertutur dalam bahasa tersebut. Murid-murid Melayu biasanya tidak menganggap mata pelajaran bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran yang penting memandangkan mereka merupakan penutur jati bahasa ini. Faktor-faktor ini ditambah dengan cara pengajaran guru yang mendatar, mengurangkan lagi minat dan sekaligus merendahkan peluang mencapai tahap penguasaan yang baik dalam bahasa Melayu di kalangan mereka.

CADANGAN KAJIAN

Ujian Diagnostik
Guru-guru perlu memberi perhatian dan penekanan kepada pengajaran bahasa. Mereka perlu mengetahui aspek penulisan dari segi pembentukan tulisan yang dikuasai dengan lemah atau belum dikuasai sepenuhnya oleh pelajar. Penekanan yang lebih perlu diberikan kepada aspek yang menjadi masalah. Para pelajar perlu diberi keterangan tentang sesuatu bidang dan dipastikan bahawa mereka benar-benar memahaminya.. Melalui ujian diagnostik, kelemahan pelajar dalam aspek ini akan dapat diketahui. Ini dilakukan dengan cara mengenal pasti apakah aspek-aspek yang menjadi masalah kepada mereka. Secara langsung, guru akan dapat mengetahui aspek-aspek yang telah dan belum dikuasai oleh mereka. Hasil ujian ini boleh dijadikan sebagai maklumat bagi program pengajaran pemulihan, iaitu langkah-langkah untuk mengatasi masalah- masalah dalam penguasaan bahasa Melayu. Ujian diagnostik juga hendaklah dijalankan dari semasa ke semasa, iaitu sama ada sebelum atau selepas pengajaran dilakukan. Ini bertujuan untuk melihat sama ada pelajar-pelajar telah mencapai kemajuan atau sebaliknya. Dengan cara ini juga dapat dinilai keberkesanan kaedah pengajaran yang digunakan oleh guru.
Strategi Yang Dilaksanakan
Latihan bertulis (  Tulisan Cantik )
Pelaksanaan (P – Pemerhatian)
         i.            Guru membuat tinjauan pemerhatian dan maklum balas dari guru kelas atau guru mata pelajaran.
       ii.            Guru memberi bahan tulisan untuk disalin oleh murid.
Pelaksanaan (M – Merancang )
         i.            Guru merangka dan merancang latihan –latihan pergerakan tangan dan keselarasan ( kordinasi ).
       ii.            Guru memberikan latihan kepada kumpulan  sasaran.
      iii.            Menjalankan aktiviti yang dirancang.
Pelaksanaan (R –  Refleksi )
         i.            Guru membuat refleksi berdasarkan latihan dan aktivit yang telah dijalankan

Peranan ibubapa
Ibu bapa perlu turut memainkan peranan untuk menggalakkan anak-anak mereka supaya lebih rajin membaca. Mereka hendaklah menyediakan suatu suasana berbahasa yang sempurna di rumah. Mereka juga hendaklah memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka tentang pentingnya bahasa Melayu dalam kehidupan mereka. Membaca akan menambahkan pengetauhan mereka di samping menambahkan perbendaharaan kata dan mendedahkan mereka kepada pelbagai bentuk ayat. Secara tidak langsung, pembacaan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu pelajar.


KESIMPULAN
Pendidikan adalah suatu proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan perhubungan atau komunikasi dan interaksi di antara individu dengan individu yang lain seperti seorang ibu dengan anaknya atau seorang pengikut dengan ketuanya atau seumpamanya. Ia juga boleh berlaku di antara individu dengan beberapa individu yang lain seperti di antara seorang anak dengan kedua ibu bapa atau keluarganya atau dengan rakan sebaya, seorang guru dengan murid-muridnya atau seumpamanya.
Pendidikan juga merupakan suatu proses komunikasi dan interaksi di antara manusia dengan persekitarannya seperti sekolah, media massa, tempat tinggal, pekerjaan dan tempat bekerja serta institusi masyarakat lainnya. Oleh kerana pendidikan adalah suatu proses penerimaan dan penyebaran maklumat, maka ilmu dan budaya yang tersebar secara langsung dan tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan fizikal, sosial dan rohani manusia. Proses ini berlaku sehingga manusia mencapai keserasian dalam kehidupannya yang perlu berinteraksi dengan individu dan masyarakat serta alam dan dalam keperluan perhubungan beribadah kepada Tuhan (Allah s.w.t.)( Ab. Rahman Abu Bakar, 1992). Oleh yang demikian, guru berperanan untuk mengenalpasti keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran yang sempurna bagi merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Negara tercapai seterusnya membentuk generasi yang lengkap daripada segi fizikal, mental, emosi dan sebagainya.


No comments:

Post a Comment